Produk SMK Long Bedian 'Lempar' Emas Buat Sarawak

Disiarkan pada 21 Aug 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Penguasaan Sarawak dalam acara padang pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI diteruskan oleh Pauline Ului yang berjaya memenangi pingat emas dalam lempar cakera wanita.

Produk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Bedian di Ulu Baram melakar kejutan apabila berjaya menghasilkan lemparan emas buat kontinjen Sarawak dalam aksinya di Stadium Sarawak pada Selasa.

Menurut Pauline ketika ditemui, beliau mula berkecimpung dalam sukan lempar cakera ini sejak memasuki sekolah berkenaan di Tingkatan 1 sebelum bakatnya itu digilap oleh jurulatih.

Beliau turut mendedikasikan kejayaan itu khas buat SMK Long Bedian yang menjadi pemangkin kepada penglibatan beliau dalam sukan tersebut.

“Saya dedikasikan kejayaan ini buat sekolah saya, SMK Long Bedian di Ulu Baram.

“Saya mulai menceburi dalam sukan lempar cakera ini dalam lebih kurang tiga tahun lebih iaitu apabila saya memasuki sekolah menengah,” jelasnya.

Pauline yang kini pelajar Tingkatan 4 SMK Long Bedian dalam pada itu tidak melupakan hasil penat lelah jurulatih dan keluarga beliau yang tidak putus memberi ajaran dan galakan kepada beliau sepanjang kariernya dalam acara ini.

Sebelum menghadapi cabaran SUKMA kali ini, beliau mengimbau perjalanan beliau khususnya semasa menjalani latihan yang diadakan di Miri.

Meskipun jauh dari kampung halaman, beliau tidak menjadikan ianya sebagai ‘pemberat’ untuk mencipta kejayaan pada hari ini.

Pauline dalam acara lempar cakera yang berlangsung di Stadium Sarawak pada Selasa cemerlang apabila berjaya menghasilkan lemparan sejauh 38.50 meter.

Lemparan itu meninggalkan pesaing terdekat iaitu Farhana Izurein Faizal Amizul dari Perlis yang membuat lemparan sejauh 38.41 meter dan Sasha Alyssa Philip dari Selangor dengan lemparan sejauh 37.62 meter.

Kedua-dua atlet berkenaan masing-masing membawa pulang pingat perak dan gangsa buat negeri mereka. -EDISI UKAS