KUCHING: Ketua-ketua kontinjen (CDM) dari negeri-negeri lain termasuk dari Negara Brunei Darussalam yang bersaing dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 akan diraikan dalam Majlis Makan Malam yang akan diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada Rabu.
Bagi memastikan kelancaran majlis itu, telah diadakan raptai penuh pada malam ini yang disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee.
Raptai bermula kira-kira jam 8 malam itu turut dihadiri Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPAN) Hamdan Sharbini dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Samuel Simon.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dijangka hadir pada majlis itu nanti.
Turut dijangka hadir Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof dan isteri, Datin Sri Ruziah Mohd. Tahir.
Selain itu, wakil-wakil dari negeri-negeri lain termasuk Brunei juga dijangka akan hadir pada majlis tersebut. - EDISI UKAS