Kampung Datu Dibangun Semula Jadi Kampung Tradisi Terbesar Sarawak

Disiarkan pada 14 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

SIBU: Kampung Datu di Sibu akan dibangunkan semula dan menjadi kampung tradisi terbesar Sarawak.
 
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata kampung itu akan dikekalkan semula tetapi pada masa sama perlu ada pembaharuan.
 
Katanya, selain memodenkan kampung, ciri-ciri budaya Kampung Datu dan sekitarnya akan terus dipelihara.
 
“Ciri-ciri ini mencerminkan budaya warisan yang kita pegang di Kampung Datu.
 
“Maknanya kita ada boulevard, dari Masjid An-nur terus ke tebing sungai, dan dibina Kampung dan Rumah Moden. Jika Darul Hana boleh dibina, saya pasti Kampung Datuk juga boleh dibina,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu, di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Sibu pada Sabtu.
 
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyatakan bahawa tebing sungai Igan akan diindahkan semula dan mempunyai ciri-ciri menarik.
 
“Kita akan jadikan tebing yang mempunyai ciri-ciri menarik, selain itu Pusat Konvensyen juga akan dibangunkan di tebing sungai tersebut.
 
“Ini akan memberikan laluan bagi kita memodernkan prasarana yang ada di kampung asal sibu, dan kampung ini pula akan kita hubungkan dengan kemuyang dengan jalan raya yang baru panjangnya 15km.
 
“Maknanya dari Kemuyang pergi ke Teku seterusnya UTS dan sambung ke Kampung Datu. Bermakna Kampung Datu diperluaskan ke Kemuyang”, tambahnya.
 
Antara matlamat penubuhan kampung tersebut adalah mengwujudkan perpaduan, persefahaman, hormat-menghormati dan mengerat hubungan silaturrahim di antara penduduk asal Kampung Datu.
 
Dalam masa yang sama, ia menjadi wakil penghubung atau pengantara antara penduduk dengan institusi kerajaan, swasta dan pemaju mengenai pemasalahan penduduk.
 
Hadir sama, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar sertaToh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Kerja Raya Malaysia,Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pengajian Tinggi dan Inovasi), Datuk Dr. Annuar Rapa'ee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS