Sarawak Ambil Langkah Berjaga Dalam Urusan Perdagangan Karbon

Disiarkan pada 20 Aug 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya dalam berurusan dengan konsultan berkaitan perdagangan karbon.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini kerana terdapat konsultan yang tidak bertauliah yang menawarkan khidmat mereka.

Menurutnya, pada masa ini Sarawak sedang bekerjasama dengan Bank Dunia untuk menilai prinsip perakaunan yang perlu digunakan dalam penilaian perdagangan karbon secara global.

“Jadi kita sekarang ini bergantung kepada pandangan daripada Bank Dunia bersama dengan tatacara Protokol London 1996 dan memang ada konsultan di luar sana termasuk Verra tapi kita hendak mempunyai satu nilai yang boleh diterima di antara negara hos dan negara yang membayar.

“Ini sedang kita tentukan, kalau tidak kita mungkin tidak mengikut sasaran. Sebab itu kita berhati-hati kerana di luar sana pun ada konsultan yang tidak bertauliah kerana ini adalah perkara baharu dan kita mesti berhubung dengan United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCC),”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) di sini pada Isnin.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Sarawak telah mempunyai cadangan untuk proses perdagangan karbon namun perlu menunggu undang-undang pengangkutan karbon daripada kerajaan Persekutuan.

“Kita sudah ada cadangan tetapi kita mesti ada undang-undang pengangkutan karbon. Ini adalah simpanan karbon, kita mesti ada undang-undang bagaimana kita menghantar karbon ini ke destinasi tertentu.

"Yang ini kita tunggu undang-undang dari kerajaan Persekutuan. Ini kita panggil pengangkutan karbon rentas sempadan,”ujar beliau.

Dalam majlis itu, beliau telah menyaksikan tiga MoU yang telah ditandatangani Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abg Hipni, Peguam Besar Sarawak, Datu Saferi Ali, Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran, Pengurus Besar, Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir, Presiden ESG Malaysia, Steven Lee, Naib Presiden & Ketua Pegawai Kemampanan Petronas, Charlotte Wolff-Bye dan Ahli Lembaga Pengarah ESG Malaysia, Datin Esther Mujan Balan.-EDISI UKAS