SUKMA Platform Cungkil Bakat Muda Bersaing Secara Sihat

Disiarkan pada 20 Aug 2024
Sumber Berita: Ukas


MIRI: Sukan Malaysia (SUKMA) menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat muda dan bertanding secara sihat.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia Dr Nagulendran Kangayatkarasu berkata, KBS telah memberikan kesedaran tentang doping untuk menggalakkan sukan berkembang dengan bersih tanpa dadah.

Dr. Nagulendran turut menjelaskan beberapa pusat doping telah dibuka di beberapa venue SUKMA untuk memastikan atlet yang bertanding bebas dari dadah.

"Pada tahun lepas KBS telah memperkenalkan satu dokumen yang dipanggil ‘Safe Sport Code’.

“Safe Sport Code ini adalah untuk menggalakkan sukan membangun tanpa ada ancaman buli, gangguan seksual dan sebagainya. Ini adalah untuk atlet kita dapat berlatih dalam suasana yang selamat dan jika ada sebarang gangguan mereka boleh mendapatkan bantuan melalui 'Safe Sport Code',” katanya pada sidang media di Pusat Media di sini pada Isnin.

Dr Nagulendran turut menjelaskan penganjuran temasya sukan meningkatkan pendapatan industri perhotelan, makanan dan pengangkutan di negeri ini.

“Sukan telah dilihat sebagai satu industri, mengikut kajian yang dibuat oleh KBS bersama Jabatan Statistik pada tahun 2022 sumbangan industri sukan kepada kerajaan adalah lebih kurang RM45 bilion daripada pendapatan negara,” tambahnya.

Justeru katanya, langkah Sarawak menganjurkan SUKMA kali ini berada di landasan yang tepat, bukan sahaja SUKMA tetapi juga kejohanan-kejohanan antarabangsa yang lain dengan kemudahan sukan yang telah dinaik taraf.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat.-EDISI UKAS