Taman Negara Niah Dalam Pemilihan Terakhir Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

Disiarkan pada 13 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
KUCHING: Taman Negara Niah di Miri kini dalam fasa pemilihan terakhir untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia (UNESCO).
 
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, langkah ini nanti akan menghubungkan Sarawak secara langsung kepada komuniti sejarah dan warisan di seluruh dunia.
 
"Kita sudah mencalonkan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia (UNESCO) dan kita sudah sampai ke fasa yang terakhir di Paris nanti, seterusnya langkah yang kedua akhir iaitu 'finale one' adalah pemilihan di New Delhi pada bulan Julai yang akan datang.
 
"Di Paris ini merupakan satu daripada 'Preliminary meeting' untuk Jawatankuasa Eksekutif yang terdiri daripada 50 buah negara UNESCO.
 
"Manakala di New Delhi nanti merupakan pemilihan yang terakhir melibatkan lebih kurang pencalonan seluruh negara di seluruh dunia untuk disenaraikan dalam UNESCO ini.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Demak Baru di sini pada Sabtu.
 
Untuk makluman, Taman Negara Niah yang terletak 110 kilometer dari Bandaraya Miri adalah kawasan penempatan manusia lebih 40,000 tahun dahulu.
 
Ia terbukti dengan penemuan perkuburan zaman paleolitik dan neolitik serta ukiran-ukiran lukisan dinding di gua kawasan berkenaan.
 
Hadir sama memeriahkan Majlis Rumah Terbuka itu ialah, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian dan isteri Datin Enn Ong Siok Ean, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chew Yew serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang. -EDISI UKAS