SUKMA 2024: Elvis Sumbang Emas Pertama Acara Terjun

Disiarkan pada 19 Aug 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Elvis Priestley Clement menyumbang pingat emas pertama skuad terjun Sarawak dalam acara 3 meter papan anjal individu yang membuka tirai di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya pada Isnin.

Terjunan Elvis mengutip mata tertinggi sebanyak 415.15 untuk mengalahkan atlet Wilayah Persekutuan, Yong Rui Jie yang mengutip 388.80 mata di tempat kedua.

Seorang lagi atlet Wilayah Persekutuan, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim di tempat ketiga dengan kutipan mata sebanyak 377.65.

Sementara itu, rakan senegeri Elvis, Awang Sharzan Nasrin menduduki tempat kelima dengan kutipan mata 306.75.
Penyampaian pingat disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam. -EDISI UKAS