MUKAH: Sarawak membuka peluang untuk mara ke peringkat seterusnya dalam sukan bola jaring pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 selepas mengejutkan Selangor dalam aksi peringkat kumpulan pada Isnin.
Kedua-dua pasukan saling berbalas kutipan mata namun Sarawak pada satu ketika ketinggalan di tangan Selangor.
Namun Sarawak yang telah mengalami dua kekalahan awal enggan mengalah dan bangkit untuk mengejar Selangor hingga keduanya terikat dengan mata 39-39.
Namun tuah memihak Sarawak apabila berjaya menjaringkan mata pada saat terakhir sebelum wisel penamat dibunyikan untuk membolehkan tuan rumah menang tipis 40-39.
Jurulatih pasukan Bola Jaring Sarawak, Khaterine Khoo Sen Sen berkata, berbaki dua lagi perlawanan, pasukan bola jaring Sarawak pasti dapat menempatkan diri menjadi naib johan dalam Peringkat Kumpulan B walaupun kalah dua perlawanan sebelumnya.
"Kita masih berpeluang untuk merebut naib johan dalam Peringkat Kumpulan B dan perlu kemenangan besar dalam dua lagi perlawanan yang berbaki.
"Yang paling penting ialah semangat mereka, jangan putus asa, agi idup agi ngelaban,” ujar beliau ketika ditemui selepas perlawanan tamat.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Jaring Sarawak merangkap SDCM Sarawak, Datin Ellis Suriati yang turut menyaksikan perlawanan tersebut turut gembira dengan kebangkitan semula pasukan Sarawak untuk memperoleh kemenangan.
"Sorakan sokongan yang begitu hangat daripada penyokong-penyokong Sarawak sendiri telah menyemarakkan lagi semangat pemain Sarawak.
"Kita jangan give up, that's the spirit till the end," katanya. - EDISI UKAS