Premier Sarawak Teruskan Ziarah Aidilfitri Di Sibu

Disiarkan pada 13 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang meneruskan program ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri dengan mengadakan kunjungan rumah terbuka di Sibu pada Sabtu. 

Beliau bersama isteri memulakan kunjungan Aidilfitri pada 4 Syawal dengan menyerikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ke kediaman Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee. 

Ketibaan Premier Sarawak di rumah terbuka tersebut sekitar jam 11:40 pagi telah disambut oleh Datuk Dr Annuar Rapaee serta ahli keluarganya. 

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Zuraini Abdul Jabbar dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman. 

Selepas itu beliau akan berkunjung ke kediaman bekas Ahli Parlimen Malaysia, Datuk Abdul Wahab Dollah di Kampung Nangka, Sibu. 

Seterusnya, beliau serta rombongan akan berkunjung ke kediaman Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad di Jalan Jasmin, Sibu. 

Di sebelah malam pula, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari akan menghadiri Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu, di Universiti Teknologi Sarawak Sibu.-EDISI UKAS