Penganjuran SUKMA XXI 2024 Bawa Pelbagai Faktor Positif

Disiarkan pada 19 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) XXI bukan sahaja mengiktiraf usaha dan komitmennya dalam memajukan sukan, tetapi juga diyakini dapat membawa pelbagai faktor positif.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau berasa amat bangga kerana Sarawak telah berjaya membuktikan kemampuannya dalam mengukuhkan perpaduan melalui penganjuran temasya tersebut.

Menurutnya, ia turut memberi manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan, di samping membuka peluang kepada golongan muda terutama para atlet untuk mengalami dan menghargai pelbagai tradisi serta budaya yang kaya di wilayah ini.

"Kami amat berbesar hati menjadi tuan rumah walaupun pada mulanya ia bukan giliran Sarawak, namun atas semangat perpaduan Malaysia; demi pembangunan sukan negara dan anak-anak muda, Sarawak sanggup menjadi tuan rumah.

"Temasya SUKMA memupuk semangat patriotisme melalui penyertaan pelbagai negeri dan etnik dalam satu platform. Sebab itu, saya syorkan lokasi-lokasi pertandingan diadakan di semua bahagian untuk mendedahkan anak muda kepada kepelbagaian budaya dan etnik di Sarawak,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian SUKMA XXI Sarawak 2024, yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bertempat di Stadium Sarawak, Petra Jaya, di sini pada Sabtu.

Dalam ucapan sama, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan bahawa penganjuran temasya berprestij ini menjadi platform untuk mengenal pasti dan mengilap bakat-bakat belia dalam bidang sukan, sekali gus memberi dorongan kepada mereka untuk mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.

"Melalui temasya ini, kita akan menyaksikan bintang-bintang sukan yang mempamerkan bakat dan kebolehan mereka. Setiap perlumbaan, lontaran dan pertandingan adalah hasil daripada latihan yang intensif serta dedikasi yang tidak berbelah bahagi.

"Atlet-atlet yang berdiri di sini merupakan contoh terbaik tentang apa yang boleh dicapai dengan semangat juang dan komitmen yang tinggi," tambah beliau.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan persembahan khas yang memukau; melibatkan ratusan penari kebudayaan serta nyanyian daripada penyanyi tempatan sebelum diteruskan dengan upacara perbarisan lintas hormat daripada setiap kontinjen yang bertanding.

Setelah itu, upacara menaikkan bendera SUKMA XXI 2024 diikuti lafaz ikrar oleh para atlet melengkapkan lagi pengisian majlis tersebut.

Kemuncak majlis pula dirancakkan dengan gimik luar biasa yang menampilkan persembahan 'Drone Bird', disusuli larian obor oleh 'Kilat Boy' kelahiran Sarawak Daeloniel McDelon Bong dan penyalaan obor oleh Ratu Terjun Negara Dato Pandelela Rinong Pamg.

Gimik tersebut turut diserikan dengan kehadiran 11 Ikon Sukan kebanggaan Sarawak iaitu Ramliee Ahmad, Watson Nyambek, Dieung Manggang, Daniel William Henry Bego, Abang Erdie Fazerul Abang Pauzan, Bryan Nickson Omas, Garcie Junita, Elizabeth Jimie, Traisy Vivien Tukiet, Ashey Lau Jen Wen, dan Bertrand Rhodict Lises.

Pertunjukan bunga api selama lebih lima minit yang mewarnai langit Petra Jaya menjadi penutup acara rasmi bagi majlis berkenaan, sebelum diteruskan dengan persembahan nyanyian daripada artis jemputan.

Majlis gilang gemilang itu turut dihadiri isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri, Timbalan-timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri-menteri Persekutuan, Menteri-menteri Sarawak, Menteri-menteri negeri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli-ahli yang berhormat serta dif-dif kenamaan yang lain.-Edisi UKAS