Sarawak Sapu Bersih Empat Kilauan Emas Dalam Kategori Poomsae

Posted on 19 Aug 2024
Source of News: UKAS



KUCHING: Sarawak terus mendominasi acara sukan taekwondo apabila menyapu bersih keseluruhan empat pingat emas kategori poomsae pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Episod kecemerlangan skuad Bumi Kenyalang bermula selepas gandingan Fedealis Kom Twim-Farah Nabilla Maddarus memenangi saingan final gaya bebas berpasangan campuran dengan kutipan mata tertinggi 6.24.

Kilauan emas kedua Sarawak hadir menerusi Chin Ken Haw selepas mengutip 7.23 mata untuk mengungguli acara gaya bebas individu lelaki sebelum Zara Nur Zafirah Mohd Yusof menyambar emas gaya bebas individu wanita dengan kutipan mata 6.50.

Momentum itu kemudian diteruskan trio Fedealis-Ken Haw-Randy Owen Augustine Linggi dalam acara gaya bebas berpasukan terbuka yang menyaksikan mereka mengumpul 7.13 mata untuk menghadiahkan emas keempat buat kontinjen tuan rumah.

Turut hadir semasa upacara penyampaian pingat ialah kedua-dua Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Dato Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr. Ripin Lamat.

Sementara itu, Ken Haw semasa bercakap kepada pemberita selepas aksi final keduanya, menyifatkan pengorbanan beliau beraksi dalam keadaan menahan sakit susulan kecederaan kaki berbaloi selepas dapat membantu Sarawak mencipta kejayaan hebat di laman sendiri.

“Saya rasakan prestasi saya baik hari ini, saya sudah lakukan yang terbaik saya boleh berikan, saya belum pulih daripada kecederaan kaki, saya tidak mampu berjalan minggu lepas, namun banyak yang saya boleh perbaiki.

“Saya terfikir untuk tarik diri tapi ini SUKMA pertama dan terakhir saya, jadi saya mahu teruskan untuk mewakili Sarawak beraksi di laman sendiri,” kata atlet Program Podium berusia 20 tahun itu.

Secara keseluruhan, Sarawak mengumpul tujuh emas dalam kategori poomsae yang melabuhkan tirai saingan hari ini selepas turut menggondol tiga emas semalam.

Tumpuan kini terarah kepada acara membabitkan kategori tempur yang dijadual berlangsung hingga Selasa depan.-EDISI UKAS