PVATM Cawangan Mambong Terima MRP Sebanyak RM30,000

Disiarkan pada 13 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia ( PVATM) Cawangan Mambong menerima dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM30,000.

Penyerahan sumbagan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil sempena Mesyuarat Agung Tahunan PVATM Cawangan Mambong yang ke-10.

Datuk Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong tidak menafikan peranan persatuan berkenaan dalam usaha membantu meningkatkan keharmonian di peringkat kampung.

Ujar beliau, PVATM berperanan sebagai jambatan kepada jaringan kebajikan diantara kerajaan kepada masyarakat di peringkat akar umbi melalui semangat bergotong royong sekaligus dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta perpaduan masyarakat di peringkat kampung.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa PVATM untuk meneruskan usaha serta semangat dalam menjaga kebajikan masyarakat terutamanya memberikan kerjasama untuk membenteras ancaman daripada penularan penagihan dadah.

Dalam mesyuarat tersebut, seramai 120 daripada 310 ahli PVATM Cawangan Mambong telah hadir untuk mendengar perkembangan dan hala tuju persatuan tersebut pada masa yang akan datang. -EDISI UKAS