33 Biro Wanita & SIDS Terima Dana MRP RM5,000 Masing-Masing

Disiarkan pada 13 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Sebanyak 33 Biro Wanita dan Serakup Indu Dayak Sawarak (SIDS) di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup masing-masing menerima sumbangan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000. 

Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pemabangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben sempena majlis makan malam Hari Wanita Sedunia 2024 pada Jumaat.

Berucap dalam majlis tersebut, beliau menzahirkan rasa kagum dan ucapan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kedup kerana berjaya menjayakan majlis tersebut.

Dalam persiapan majlis itu, kerja-kerja pengagihan, pemilihan dan penyediaan pelbagai jenis makanan di beberapa buah kampung yang terbahagi kepada 15 kumpulan kalangan biro-biro wanita kawasan Kedup menunjukkan adanya kesepakatan yang perlu dicontohi.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup itu lagi, kemampuan dan kebolehan wanita bukan terhad kepada satu-satu bidang sahaja malah mereka mampu melangkaui bidang yang dipelopori pihak lelaki.

Bagi memeriahkan lagi majlis pada malam itu, turut diadakan adalah persembahan tarian tradisional, nyanyian karaoke, cabutan tiket bertuah dan Pertandingan Ratu Kebaya. 

Pertandingan Ratu Kebaya menyaksikan seramai lapan orang wanita telah memperagakan baju kebaya dengan gaya masing-masing. 

Isteri kepada Datuk Martin, Datin Trina Tan telah dijemput menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang di mana pemenang tempat pertama menerima sebanyak RM500.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Daerah Serian merangkap Pegawai Daerah Serian Inting Nyami, Setiausaha Majlis Daerah Serian Tay Guan Huat, Timbalan Ketua PBB Cawangan Kedup Ripin Daoh, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Kedup Kathleen Duri Limin, Temenggong Bidayuh Bahagian Serian Henry Bujang Sendan, Temenggong Bangsa Cina Bahagian Serian Gee Ah Chok, Penghulu Kawasan Bunan Shilling Lingga, Penghulu Kawasan Kedup Jambeng Surak dan Tuai Rumah Kampung Sungai Engkabang A Joseph Jalong. -EDISI UKAS