SERIAN: Pelajar sekolah harus menerapkan budaya pembelajaran agar dapat meningkatkan kemahiran untuk masa hadapan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben memberitahu, ibu bapa dan para guru harus bekerjasama membantu murid-murid sekolah cemerlang dalam pelajaran.
”Untuk cemerlang di masa hadapan, hanya melalui pendidikan sahaja kita menjadi maju dari segi mental, pemikiran, skil dan tenaga.
“Dengan pelbagai cabaran yang ada, anak-anak dan generasi muda juga harus didedahkan dan mahir dalam teknologi dan oleh itu saya mengharapkan para ibu bapa menyokong program-program yang diperkenalkan di peringkat sekolah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa program Malam Mesra Bersama Wakil Rakyat Sekolah Kebangsaan (SK) Krangan di Kampung Krangan Jaya di Serian pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup itu juga melakukan lawatan ke SK Krangan bagi meninjau keadaan bangunan sekolah yang daif dan kurang selamat.
Pihak Pejabat Pendidikan Daerah Serian telah mencadangkan agar sekolah tersebut dibangunkan semula melalui inisiatif pembiayaan terlebih dahulu oleh Kerajaan Sarawak bagi projek Kerajaan Persekutuan bagi sekolah-sekolah daif.
Difahamkan, dua lagi sekolah daif bakal dibangunkan semula melalui inisiatif sama di kawasan Kedup iaitu SK Mubok Berawan dan SK Mapu.
Dalam majlis sama, Datuk Martin juga mengumumkan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Krangan Jaya dan dana MRP sebanyak RM24,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Krangan untuk menjalankan projek dan aktiviti sekolah itu.
Beliau juga telah menandatangani secara simbolik peluncuran kolaborasi sebagai rakan strategik kepada PIBG SK Krangan dan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan ratu kebaya kepada peserta-peserta.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Serian Bunsie Tunton, wakil Residen Bahagian Serian Suzana Pidan, Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Dr Novel Lyndon, Pegawai Daerah Serian Inting Nyami, Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Serian Janie Limin, Guru Besar SK Krangan Connie Tensay dan Yang Dipertua PIBG SK Krangan Bernard Kadam Slimin. -EDISI UKAS