Pembangunan Industri Minyak & Gas Kembalikan Kegemilangan Miri

Disiarkan pada 12 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pembangunan industri minyak dan gas pada hari ini mampu mengembalikan kegemilangan bandar raya Miri sebagai pusat tumpuan industri seperti dahulu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelabur-pelabur luar seperti Shell Malaysia, ‘PTT Exploration and Production’ (PTTEP), Mubadala termasuk Petroleum Sarawak (PETROS) akan menumpukan semula pelaburan mereka ke Miri.

“Saya mesti katakan di sini, Shell sudah berkembang maju di Sarawak di mana mereka telah menubuhkan ibu pejabat mereka di Miri dan ini bermakna Miri akan kembali seperti dahulu.

“Kalau aktiviti huluan bertambah bermakna banyak lagi kegiatan hiliran yang akan berlaku di Sarawak.

“Salah satu syarikat itu adalah Shell dan yang lain-lain adalah seperti PTTEP, Mubadala dari UAE, ‘PAC Contractors’ dan PETROS sendiri akan memainkan peranan mereka sedikit demi sedikit,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 anjuran Shell Malaysia di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS