Rumah Panjang Baharu Nanga Pik Bukti Perpaduan Masyarakat Sarawak

Disiarkan pada 12 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS




SPAOH: Rumah panjang baharu Nanga Pik merupakan bukti kukuh semangat perpaduan masyarakat Sarawak khususnya di Spaoh. 


Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, rumah panjang tersebut melambangkan usaha Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak mengabaikan keperluan penduduk di kawasan luar bandar.
 

“Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan, para penduduk rumah panjang ini telah berjaya membina rumah panjang moden dan konkrit.

 

“Ini kerana anda semua telah memilih untuk bersatu dalam satu suara dan saya amat berbangga dengan pencapaian ini, kerana ianya bukan satu tugas yang mudah,” jelasnya pada majlis perasmian rumah panjang tersebut di sini pada Jumaat. 

 

Datuk Amar Douglas Uggah berkata, melalui Lebuhraya Pan Borneo ia hanya mengambil masa kira-kira tiga jam memandu dari Kuching untuk sampai ke rumah panjang Nanga Pik.

 

“Sebelum ini, kita terpaksa berjalan jarak yang agak jauh sebelum meneruskan perjalanan ke Nanga Pik dengan menaiki bot panjang,” ujarnya.

 

Difahamkan, pembinaan rumah panjang 24 pintu itu telah bermula dilaksanakan pada 20 Ogos 2012 dan telah disiapkan selepas dua tahun.

 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata peruntukan sebanyak RM33 juta telah diperuntukkan untuk merancakkan aktiviti sosioekonomi bagi membantu penduduk di konstituensi Bukit Saban bagi membantu penduduk setempat menjana pendapatan.

 

Beliau menambah, sejumlah RM25 juta juga telah diperuntukkan untuk menaik taraf jalan Ulu Rimbas di sini bagi memanfaatkan sebanyak 13 rumah panjang sekitar.

 

Turut hadir ialah isteri kepada Datuk Amar Douglas Uggah, Datin Amar Doreen Mayang, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu serta isterinya Datin Rosemarie Wong, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik. -EDISI UKAS