Skuad Taekwondo Sarawak Laung Amaran Awal

Disiarkan pada 16 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak melaungkan amaran awal dalam sukan taekwondo apabila menyambar dua pingat emas pada hari pertama acara itu membuka gelanggang di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya pada Jumaat.

Gandingan Fedealis Kom Twin, Mohd Isshahril Mazlan dan Randy Owen Augustine Linggi itu mempamerkan gerakan kemas untuk mengungguli acara poomsae lelaki selepas mengumpul mata tertinggi 8.01 mata.

Pasukan dari Wilayah Persekutuan, Chee Bo Qin, Dixon Loh dan Tan Vee Liam meraih pingat perak dengan 7.65 mata manakala wakil Perak menerusi Choong Jian Xian, Choe Ming Feng dan Riky Chong mencatatkan 7.35 mata untuk gangsa.

Terdahulu, pasukan wanita tuan rumah turut menyumbang emas menerusi trio Farah Nabilla Maddarus, Siti Yusriyyah Zailani dan Willemien Lai Lin dengan 7.70 mata.

Johor yang dibarisi Ling Lau You, Lim Xin Zi dan Yong Si Ting meraih perak dengan 7.54 mata diikuti Yow Mei Xin, Loh Wai Yee dan Soo Wei Shan dari Pulau Pinang membawa pulang gangsa dengan 7.29 mata.-EDISI UKAS