Nur Hazirah Raih Emas Acara Tenpin Boling Perseorangan Wanita

Disiarkan pada 16 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Acara tenpin boling perseorangan wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 menyaksikan atlet tuan rumah, Nur Hazirah Ramli merangkul pingat emas setelah mengungguli acara berkenaan yang berlangsung di Megalanes Sarawak, Batu Kawa pada Khamis.

Atlet berusia 21 tahun itu berjaya mencatat sebanyak 1,261 jatuhan pin untuk bergelar juara.

Nur Hazirah yang juga naib juara acara individu SUKMA 2022 ketika ditemui meluahkan rasa gembira dan lega kerana berjaya meraih emas dalam penampilan terakhirnya di temasya dwitahunan tersebut.

“Saya dedikasikan pingat emas ini kepada semua penyokong saya termasuk jurulatih, keluarga, dan rakan-rakan. Ia juga untuk mereka yang sentiasa memotivasi saya walaupun saya pernah merasa putus asa.

"Harapan saya sentiasa untuk memenangi pingat dan saya akan terus menyokong rakan sepasukan dan memberikan yang terbaik.

"Saya berharap dapat bersaing dalam Junior All Stars pada masa hadapan," katanya kepada media selepas majlis penyampaian pingat yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi atlet Selangor, Adania Mohd Redzwan dengan 1,254 jatuhan pin, sementara tempat ketiga disandang oleh atlet Wilayah Persekutuan, Haiffa Hazlan dengan 1,239 jatuhan pin.

Bagi kategori lelaki, atlet Terengganu, Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Malan yang diberi gelaran Masters lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 baru-baru ini sekali lagi muncul juara dengan 1,375 jatuhan pin.

Tempat kedua dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Shaqeem Izwan Teh dengan 1,361 jatuhan pin dan tempat ketiga diraih atlet Sabah, Emmanuel Fo dengan 1,342 jatuhan pin.-Edisi UKAS