Budaya Menziarahi Pupuk Perpaduan Kaum

Disiarkan pada 12 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS




BINTULU: Budaya menziarahi sempena hari perayaan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.

 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, penduduk pelbagai kaum dan agama di Sarawak amat bertuah kerana dapat meraikan sambutan perayaan tanpa mengira kaum.

 

Menurutnya, sambutan Hari Raya juga seperti perayaan utama kaum di negeri ini yang dapat memupuk semangat persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

 

"Menziarahi rumah sahabat handai ketika musim perayaan bukan sahaja dapat memberi peluang mengenali budaya kaum lain, malah  peluang untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk," katanya.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata demikian semasa berkunjung ke majlis rumah terbuka di sekitar Kampung Assyakirin III dan Kampung Jabai pada Jumaat. 

 

Dalam pada itu, beliau memuji semangat kekitaan dan persaudaraan yang ada dalam masyarakat masa kini.

 

“Sebagai wakil rakyat, menziarahi masyarakat di peringkat akar umbi semasa musim perayaan adalah peluang terbaik untuk berinteraksi dengan rakyat di lapangan.

 

"Ini juga bagi memahami keperluan mereka dan memastikan mereka dapat dibantu dengan sewajarnya," ujarnya. -EDISI UKAS