Mangsa Tanah Runtuh Terima Bantuan

Disiarkan pada 12 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


REPOK: Mangsa-mangsa tanah runtuh di Rumah Jupong dan Rumah Augustine menerima bantuan dan sumbangan khas daripada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato Sri Huang Tiong Sii.

Kejadian yang berlaku pada 11 April lepas menjejaskan dua buah bilik di Rumah Jupong ekoran hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan pada hari sama. 

Sehubungan dengan itu, Dato Sri Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok telah menghantar wakilnya, Ling Dien Yong untuk turun padang menyalurkan bantuan daripada beliau.

Buat masa ini, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menasihati penduduk supaya lebih berhati-hati dan berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Para penduduk juga perlu bertindak pantas melaporkan pada pihak APM atau lain-lain agensi penyelamat yang lain sekiranya berlaku runtuhan tanah lagi di kawasan tersebut. 

Dato Sri Huang memberitahu, projek membaik pulih kerosakan rumah panjang berkenaan akan dilaksanakan segera di bawah seliaan Majlis Daerah Sarikei dengan peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang akan disalurkan kemudian.

Hadir sama, Penolong Jurutera Majlis Daerah Sarikei Joviana Joklin. -EDISI UKAS