SIBU: Persiapan untuk sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2024 yang akan berlangsung di sini pada 30 hingga 31 Ogos nanti sedang berjalan dengan lancar.
Residen Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, ini termasuk mengadakan mesyuarat bersama unit pengurusan acara negeri.
"Secara keseluruhan, persiapan acara berjalan dengan baik. Setelah Festival Kebudayaan Borneo (BCF) berakhir minggu ini, persiapan untuk sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada kali ini akan diteruskan.
"Selain itu, Bazaar Merdeka turut diadakan di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di sini, pada Khamis.
Mengenai malam ambang Hari Kebangsaan pada 30 Ogos, beliau optimis kehadiran artis popular akan menarik pengunjung.
Dalam pada itu, Abang Mohamad Porkan turut menggesa orang ramai agar mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan untuk menunjukkan kesetiaan dan kecintaan terhadap negara serta menghayati semangat kemerdekaan.
"Saya menyeru semua rakyat Sibu khususnya untuk menyertai acara-acara yang dianjurkan dan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap jabatan, gerai, kedai makan, rumah, sekolah, kuil, masjid, gereja, serta NGO dan persatuan, rumah panjang dan juga kampung di Sibu dan Sarawak secara amnya untuk menunjukkan kecintaan kepada negara.
"Sambutan ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum," tambahnya.
Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak pada kali ini bertemakan ‘Jiwa Merdeka’.
Terdapat tiga acara tonggak akan diadakan iaitu Ambang Hari Kebangsaan,'Fun Walk' dan Perhimpunan Hari Kebangsaan.-EDISI UKAS