SUKMA 2024: Skuad Menembak Sarawak Sudah Sedia Bidik Emas

Disiarkan pada 15 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Skuad menembak Sarawak sudah bersedia dari aspek fizikal dan mental untuk berentap pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 bermula dari 17 hingga 21 Ogos ini.

Sukan menembak menyaksikan 24 pingat emas bakal menjadi rebutan kontinjen-kontinjen yang berentap dengan Sarawak menyasarkan beberapa acara untuk dimenangi.

Wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sempat menemu ramah tiga atlet Sarawak di Lapang Sasar Menembak, Petra Jaya bagi mendapatkan persiapan mereka untuk kempen kali ini.

Atlet Sarawak, Abang Ikhmal Putra Zailan berkata, beliau sudah bersiap sedia dari segi fizikal dan mental untuk bertanding dalam acara lelaki berpasukan 'air pistol' 10 meter dan acara campuran 'air pistol' 10 meter.

“Kami sudah berlatih bersama-sama dengan para atlet menembak lain di mana kami berjogging atau berjalan dari Perkampungan Sukan. Hal ini untuk kami kurangkan rasa gementar serta sentiasa lakukan latihan untuk bersiap sedia bagi acara kelak,” katanya.

Abang Ikhmal juga berharap skuad menembak terus memberi usaha yang tinggi untuk sukan tersebut yang diadakan kelak dan membawa pulang emas untuk Bumi Kenyalang.

Atlet wanita, Kaira Ramadhani Azman turut bersedia dengan latihan yang diadakan hampir 10 jam sehari bagi menghadiahkan emas untuk Sarawak.

Ujarnya, beliau berharap untuk memenangi beberapa emas untuk Sarawak walaupun ini merupakan penampilan pertama dirinya pada SUKMA bagi acara wanita berpasukan 'air rifle' 10 meter, acara wanita 'air rifle' meniarap 50 meter dan acara campuran 'air rifle' 10 meter

“Walaupun ini adalah SUKMA pertama saya, saya berharap dapat menyasarkan dua pingat emas untuk Bumi Kenyalang,” jelasnya.

Selain itu, atlet Sarawak, Justin Joannes Kelukin juga telah bersedia fizikal dan mental untuk mengharungi acara beliau iaitu acara lelaki berpasukan untuk pistol standard 25 meter, pistol 25 meter, 'air pistol' 10 meter dan acara campuran 'air pistol' 10 meter.

“Harapan saya untuk menghadiahkan pingat untuk Sarawak bersama-sama dengan rakan-rakan seperjuangan yang lain agar kami dapat membanggakan nama Sarawak kelak,” katanya. -EDISI UKAS