KOTA SAMARAHAN: Persoalan mengenai jumlah insentif untuk penyumbang pingat emas Sarawak di Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 dijangka terjawab pada Jumaat ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu bakal diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di venue acara Taekwondo, Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching.
Sehubungan itu, Dato Sri Abdul Karim menyatakan keyakinannya bahawa jumlah insentif yang akan diumumkan itu pasti memberikan ganjaran yang cukup lumayan kepada para atlet.
“Saya berani katakan cukup lumayan sekali. Semestinya jumlah yang diberikan oleh kerajaan Sarawak akan mengatasi jumlah besar yang telah diumumkan oleh negeri lain,"katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perkampungan Sukan SUKMA Ke-21 Sarawak 2024, di Dewan DeTar Putra Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini pada Khamis.
Untuk rekod, kerajaan Sarawak telah memberikan insentif sebanyak RM3000 kepada penyumbang pingat emas dari bumi kenyalang pada edisi lalu.
Pada tahun ini, sebagai tuan rumah, penambahan kadar insentif layak dipertimbangkan bagi meningkatkan lagi semangat para atlet untuk berentap di temasya sukan berprestij tersebut.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, terdapat 33 buah perkampungan sukan dan penginapan telah disediakan pada edisi kali ini, merangkumi lokasi di universiti, institut pengajian tinggi serta hotel di sembilan bahagian di Sarawak.
Jelasnya lanjut, sebahagian besar pegawai teknikal dan atlet akan berkampung di UNIMAS dari 14 hingga 26 Ogos ini.
"Dengan adanya kemudahan perkampungan sukan dan juga penginapan ini, saya berharap barisan pegawai dan juga para atlet akan dapat menginap secara selesa.
"Saya akui apabila mengatur penginapan sebesar ini mesti ada kekurangan dan juga kecacatannya, namun saya percaya cabaran akan datang di peringkat awal sahaja dan selepas beberapa hari, segala masalah ini akan dapat diatasi, seterusnya berjalan dengan lancar.
"Kita akan berusaha memastikan semua pengunjung tidak berasa tertekan disebabkan kemudahan yang kurang memuaskan,"tegas beliau.
Majlis penuh bermakna itu telah diserikan dengan upacara simbolik menaikkan bendera diiringi lagu rasmi negara, negeri dan wilayah masing-masing, di samping penyampaian cenderahati berbentuk pedang Iban kepada ketua-ketua kontinjen SUKMA 2024.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr. Ripin Lamat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA 2024 Datu Hii Chang Kee serta Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Majlis Sukan Negara Ariffin Mohd Ghani.
Turut hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datu Felicia Tan Ya Hua, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perkampungan Sukan dan Penginapan Pegawai Teknikal Hairani Mohamad Ismail, Penolong Pengarah Survei Sarawak Ramzi Abdillah, Residen Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang serta Timbalan Naib Canselor UNIMAS Prof. Ir. Ts. Dr. Al-Khalid Othman.
Setiap kolej di UNIMAS telah ditetapkan sebagai tempat penginapan untuk menampung para atlet dan pegawai terlibat, seperti Kolej Alamanda yang menempatkan kontinjen dari Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu; Kolej Bunga Raya disediakan untuk Kelantan, Selangor, Perlis dan Sabah; Kolej Cempaka didiami oleh Johor, Pahang dan Perak; Kolej Dahlia untuk Sarawak dan Wilayah Persekutuan; Kolej Sakura digunakan okeh Kedah dan Brunei Darussalam sementara Kolej Tun Ahmad Zaidi dipenuhi kontinjen Negeri Sembilan.
Antara kemudahan lain yang disediakan termasuk surau, bilik mesyuarat, bilik gerakan disertakan wifi, dobi layan diri, kafeteria, pasar mini dan mesin jual beli. -Edisi UKAS