SUKMA 2024: Sarawak Kutip Sebutir Lagi Gangsa Menerusi Wushu

Disiarkan pada 15 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kontinjen Sarawak mengutip satu lagi pingat menerusi acara wushu bagi kategori taijiqian wanita pada hari kedua acara tersebut dipertandingkan.

Atlet wushu, Carmen Chaw Jia Min memberikan aksi yang bersemangat membolehkan beliau mengumpul sebanyak 9.573 mata sekaligus menggondol pingat gangsa buat kontinjen tuan rumah.

Dewan Wushu Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) di Petra Jaya sekali lagi menyaksikan persembahan wushu terbaik apabila atlet kebangsaan dari Selangor, Mandy Cebelle Chen berada dalam kelasnya sendiri dengan pungutan 9.606 mata untuk pingat emas kedua buat negerinya.

Sementara itu, atlet dari Wilayah Persekutuan, Kwan Yong Xin menebus semula pingat perak buat dirinya apabila berjaya memintas Carmen dengan pungutan mata sebanyak 9.600.

Seorang lagi atlet Sarawak yang mengambil bahagian dalam kategori yang sama iaitu Andra Chan Zhi Zheng terkandas pada kedudukan ke-10 dengan pungutan mata 9.406.

Kontinjen wushu Sarawak setakat ini telah menyumbang satu emas, satu perak dan dua gangsa. -EDISI UKAS