Mukah Terima Projek Pembangunan Sebanyak RM6.3 Bilion

Posted on 15 Aug 2024
Source of News: UKAS


MUKAH: Bahagian Mukah menerima peruntukan sebanyak RM6.3 bilion bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek-projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2026.

Menurut beliau, ia akan memberi impak besar dalam meningkatkan mobiliti serta merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan tersebut.

“Daripada jumlah tersebut, Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) sedang melaksanakan projek bernilai RM2.32 bilion , termasuk pembinaan Jambatan Igan, Jambatan Paloh dan Jambatan Lassa yang penting untuk menghubungkan kawasan-kawasan di Lembah Rajang.

“Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi juga terlibat dalam pelaksanaan projek bekalan air, elektrik dan telekomunikasi dengan nilai RM2.83 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengetuai Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri, di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan penubuhan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) adalah untuk memajukan kawasan-kawasan di bawahnya dengan mandat melaksanakan projek bernilai RM705 juta.

Ujar beliau, fokus utama RADDA adalah menaik taraf pelbagai kawasan dengan penekanan pada pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan.

“Mukah dijangka menjadi hab pendidikan utama dengan kehadiran institusi seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Kampus Laila Taib, CENTEXS, Politeknik Mukah dan UiTM,” katanya.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Ekonomi (Malaysia), Dato Hajah Hanifah Taib, Timbalan Menteri Utliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Perancangan Banda, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan MA63), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik dan Ketua-ketua Jabatan kerajaan Sarawak. -EDISI UKAS