Sri Aman Sarat Sejarah, Lagenda Bujang Senang Destinasi Menarik Dikunjungi

Disiarkan pada 14 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS



SRI AMAN: Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman bakal menyaksikan pertarungan sengit atlet tinju bersaing meraih pingat emas yang diadakan pada 16 hingga 23 Ogos ini.

 
Stadium itu turut dijangka menjadi tumpuan orang ramai bagi peminat sukan tinju terutamanya warga Sarawak sendiri.
 
Malah bahagian Sri Aman juga telah terkenal dengan sukan itu yang menjadi tempat lahirnya jaguh tinju Sarawak, Kilat Boy atau nama sebenarnya Daeloniel McDelon Bong.
 
Kontinjen Sarawak akan menampilkan 15 atlet tinjunya pada temasya SUKMA kali ini.

 
SIMANGGANG

Pada mulanya, bahagian itu dikenali sebagai Simanggang sebelum namanya diubah menjadi Sri Aman pada tahun 1974 bersempena dengan peristiwa Deklarasi Sri Aman.
 
Deklarasi ini berlaku apabila anggota Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang dipimpin oleh Bong Kee Chok menyerah diri kepada pegawai kerajaan Sarawak dan perjanjian tersebut dimeterai oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tun Abdul Rahman Yakub, pada 21 Oktober 1973.
 
Sebagai memperingati peristiwa tersebut, pada 19 Mac 1974, rumah rehat kerajaan yang dikenali sebagai Rumah Simanggang telah dinamakan semula sebagai Rumah Sri Aman.
 
Rumah ini adalah lokasi deklarasi itu ditandatangani.
 
Walau bagaimanapun, penduduk tempatan tetap ‘selesa’ dengan nama Simanggang sehingga Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengembalikan nama Simanggang semula pada 25 Oktober 2019.

 
TUGU BURUNG MERPATI

 
Burung Merpati merupakan mercu tanda terkenal di Simanggang.
 
Ia didirikan pada awal tahun 1990-an dengan struktur utamanya menampilkan dua ekor burung merpati putih.
 
Burung merpati yang dikaitkan dengan keamanan dijadikan simbol tugu ini sebagai peringatan terhadap peristiwa bersejarah Deklarasi Sri Aman.
 
Tugu ini terletak berhampiran bulatan utama yang menuju ke pusat bandar iaitu lokasi peristiwa bersejarah tersebut berlaku.


 
KUBU ALICE

Sementara itu, Sri Aman juga tidak kurang hebatnya dengan hasil peninggalan sejarahnya tersendiri.
 
Antaranya Kubu Alice yang dibina semasa zaman pemerintahan Rajah Brooke.
 
Kubu Alice dibina oleh Rajah Charles Brooke pada tahun 1864 selepas kemenangan ke atas Rentap dalam peperangan tahun 1861.
 
Kubu ini berfungsi sebagai pusat pentadbiran dan juga sebagai benteng pertahanan untuk menjaga keamanan di Sungai Batang Lupar.
 
Kubu ini juga berperanan sebagai mahkamah rakyat dan memiliki penjara di tingkat bawah.
 
Setelah dibaikpulih kubu itu kini telah dibuka untuk kunjungan orang ramai.


 
PESTA BENAK

Sri Aman turut terkenal dengan program pelancongan tahunannya iaitu Pesta Benak.
 
Pesta Benak yang diadakan di Tebingan Sungai Batang Lupar telah diiktiraf Kerajaan Sarawak dan dimasukkan ke dalam kalender pelancongan negeri Sarawak.
 
‘Benak' adalah istilah tempatan di Sarawak yang merujuk kepada fenomena air pasang yang terjadi dengan gelombang beralun.
 
Kejadian 'benak' di Batang Lupar merupakan salah satu daripada 65 lokasi fenomena 'benak' yang ada di seluruh dunia.
 
Keajaiban fenomena itu menjadi tumpuan ribuan pengunjung setiap kali Pesta Benak dianjurkan dan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk Pertunjukan Luncur Benak dan regatta.

 
 
LAGENDA BUJANG SENANG

Sebut sahaja Sri Aman, pasti mengimbas kembali lagenda Bujang Senang.
 
Lagenda terkenal dikalangan penduduk tempatan itu diceritakan seekor buaya raksasa yang mengganas di Sungai Batang Lupar sekitar 1980-an adalah berasal daripada seorang manusia yang telah disumpah.
 
Mitos masyarakat Iban percaya, jelmaan mahluk raksasa itu mengganas kerana membalas dendam di atas kematian isterinya yang dibunuh musuh dan turut mengorbankan beliau sendiri.
 
Setelah dibiarkan tenggelam di Sungai Batang Lupar, mayat keduanya kemudian disumpah dewa menjadi buaya gergasi dan memburu keturunan musuh yang membunuh mereka berdua.
 
Banyak kejadian dibaham buaya gergasi belaku dan dipercayai sebagai Bujang Senang yang dikatakan mempunyai tanda belang putih di belakang  sejak 1940-an lagi.
 
Mitos dan lagenda Bujang Senang hingga kini masih segar diingatan penduduk Sarawak khususnya nasyarakat Iban di Batang Lupar, Sri Aman.
 
Kesimpulannya, Sri Aman yang sarat dengan kisah sejarahnya dan lagenda terkenal Bujang Senang merupakan salah satu destinasi wajib dikunjungi di negeri Sarawak.
 
Berada di bandar itu seolah-olah menggamit kembali sejarah titik bermulanya keamanan negeri ini susulan peristiwa pengganas komunis menyerah diri dan Simanggang diubah menjadi nama Sri Aman.
 
Kini Sri Aman semakin menikmati kemajuan dan perpaduan serta keamanan yang ada terus dipertingkat dan dipertahankan.
 
-TAMAT-