Betong Destinasi Menarik Untuk Dikunjungi, Sedia Terima Kunjungan Sempena SUKMA SARAWAK Ke-21
Disiarkan pada 14 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS

BETONG: Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan bakal menjadi tumpuan ramai bagi menyaksikan acara angkat berat Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang akan berlangsung dari 19 hingga 23 Ogos ini.
Persiapan rapi gelanggang bertaraf antarabangsa sukan itu sudah pastinya menyemarakkan semangat para atlet terutamanya kontijen Sarawak membawa pingat emas pada temasya kali ini.
Betong turut bersedia menyambut ketibaan para atlet, pegawai dan juga orang ramai yang akan berkampung di bandar itu sepanjang persaingan acara angkat berat berlangsung.
Malah pengunjung dari luar terutama bagi mereka yang pertama kali menjejak kaki ke bandar Betong akan menemui ‘keistimewaan’ tersendiri tempat kelahiran Ketua Menteri Sarawak Pertama, Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan itu.
MINI PUTRAJAYA
Pernah digelar ‘Mini Putrajaya’, Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri Betong yang tersergam indah di puncak bukit menjadi simbol kepada pembangunan dan kemajuan struktur pentadbiran bahagian itu.
Ia juga menjadi nadi penting bagi mentadbir Bahagian Betong pada keseluruhannya.
Daerah Betong telah diktiraf menjadi Bahagian Betong pada 26 Mac 2022.
Bahagian itu mempunyai keluasan 4,180.8 kilometer persegi dan penduduknya terdiri daripada kaum Iban, Melayu, Cina dan Bidayuh.
Seiring perkembangan dan tuntutan semasa, pada masa ini, terdapat pelbagai institusi pendidikan diwujudkan di Betong.
Kerajaan juga telah mempelbagaikan inisiatif pertanian moden dan komersial di bahagian itu.
SEJARAH ERA BROOKE
Betong menyaksikan pelbagai peristiwa sejarah penentangan pemerintahan Rajah Brooke.
Kubu Lily salah satu peninggalan sejarah yang masih kekal pada hari ini dibina pada tahun 1885 sebagai kubu pertahanan menangkis serangan semasa era pemerintahan Rajah Brooke.
Kerajaan Sarawak telah mengambil inisiatif untuk membaik pulih semua kubu sejarah yang terdapat di Sarawak.
Usaha ini turut melibatkan Kubu Lily dan kini dibuka untuk lawatan umum yang menjadi tarikan satu lagi sejarah bandar Betong.
Selain itu, Betong juga terkenal dengan Bukit Sadok yang telah menyaksikan peristiwa sejarah pertempuran di antara Panglima Rentap dan pemerintahan Brooke.
Antara catitan sejarah, Rentap yang juga diberi gelaran sebagai ‘Raja Bukit’ membina kubu di kawasan curam Bukit Sadok yang sukar untuk didaki oleh pihak musuh.
Pada 15 Jun 1857, Tuan Muda Charles Brooke mengadakan ekspedisi pertama bersama askarnya untuk menyerang kubu Rentap di Bukit Sadok.
Rentap dan pengikutnya bertindak balas dengan menggunakan sebuah meriam ‘Bujang Timpang Berang’.
PASAR TAMU BETONG
Selain mempunyai tempat bersejarah, di tengah-tengah bandar Betong juga terdapat Pasar Tamu Betong yang menjadi tarikan pengunjung terutamanya pada hujung minggu.
Pelbagai produk, kraftangan, hasil laut, hutan dan makanan eksotik yang mungkin sukar ditemui di tempat lain boleh didapati di pasar itu.
Kemudahan yang lengkap dan selesa yang disediakan bagi pengunjung menjadikan pasar itu memberi peranan besar kepada peniaga dan penjaja tempatan menjana pendapatan.
IKAN BUNTAL
Sebut sahaja ikan buntal sudah pasti terbayang ikan yang berduri, beracun dan tidak selamat untuk di makan.
Di Pasar Tamu Betong, sudah menjadi kebiasaan untuk melihat para peniaga masing-masing sibuk menyiang ikan tersebut sebelum dijual kepada orang ramai.
Ini kerana, pembeli lebih rasa ‘selamat’ jika peniaga sendiri untuk menyiang ikan buntal.
Salah seorang peniaga ikan buntal, Muhamad Alfian atau lebih mesra dipanggil Lan mendedahkan adanya petua tersendiri untuk menyiang ikan buntal.
Tidak mendedahkan petua tersebut dengan lebih terperinci, Lai berkata, terdapat enam jenis ikan buntal di mana ikan buntal yang mempunyai mata merah tidak selamat untuk dimakan.
Beliau berkata, ikan buntal sering mendapat sambutan orang ramai dan beliau dapat menjual sehingga 80 kilogram sehari malah pada musim tertentu hingga 100 kilogram.
Kesempatan berkunjung ke bandar Betong sudah pastinya menjanjikan pengalaman berharga bagi pengunjung luar.
Selain dapat melihat dengan lebih dekat peninggalan sejarah seperti Kubu Lily, keramahan penduduk tempatan sudah pastinya memberi keselesaan kepada pengunjung untuk lebih merasai sendiri keharmonian yang sudah lama wujud di negeri ini. -EDISI UKAS