BINTULU: Kemudahan dan fasiliti sukan perlu ditambah baik bagi memastikan Sarawak bersedia menjadi penganjur temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) pada tahun 2027.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, fasiliti sukan di Bintulu sekarang berfungsi dan dalam keadaan yang baik untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
“Kemudahan dan venue yang sedia ada harus ditambah baik untuk penganjuran sukan berprestij tinggi di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa sekaligus menjadikan Sarawak bersedia untuk menganjurkan Sukan SEA 2027,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Media Bahagian (PMB) Kluster Bintulu di Stadium Muhibbah pada Selasa.
Untuk rekod, Bintulu menjadi tuan rumah tiga sukan pada SUKMA kali ini iaitu bola sepak di Stadium Bintulu dan padang Universiti Putra Malaysia (UPM), manakala sukan muay thai berlangsung di Paragon Mall dan sepak takraw di Stadium Muhibbah.
Dalam pada itu, Johnny turut menyeru pihak media dan sukarelawan menggalas peranan penting untuk mempromosikan temasya SUKMA tahun ini dari segi venue sukan dan tempat yang menarik di bahagian Bintulu mahupun di seluruh Sarawak.
“Pada masa yang sama, melalui penganjuran SUKMA ini ianya dapat membantu melonjakkan lagi industri pelancongan tempatan di sini,” katanya.
Jelasnya, ramai pengunjung dari luar negeri akan datang ke Bintulu bagi menyaksikan acara SUKMA yang dianjurkan di bandar tersebut dan usahawan boleh mengambil peluang ini untuk mempromosikan produk tempatan kepada para pengunjung.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Angellie Stephen Raja dan Pengarah PMB Kluster Bintulu Jerida Andin. -EDISI UKAS