Pos Kawalan Sempadan Stass Dibina Melalui Projek GKCDA Fasa 2

Disiarkan pada 12 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BAU: Pembinaan Pos Kawalan Sempadan di antara Malaysia dan Kalimantan Barat, Indonesia di sekitar Kampung Stass dirancang pembinaannya melalui projek Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) Fasa 2. 

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep berkata, usaha itu akan dilaksanakan setelah siapnya pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin.

"Sebelum ini sebanyak RM2 juta di bawah GKCDA Fasa 1 diletakkan bagi membina Pos Kawalan Sempadan Stass namun ia tidak dapat dilaksanakan selepas pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat kiraan jumlah peruntukan itu hanya cukup untuk membina jalan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Keluarga dan Ulang Tahun ke-5 Kampung Krawong Stass di sini pada Rabu.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu menambah, peruntukan bagi pembinaan Pos Kawalan Sempadan Stass yang merupakan pintu masuk strategik ke Daerah Bau akan ditingkatkan dalam fasa kedua.

"Tumpuan kita sekarang adalah pembinaan ICQS Serikin dan setelah siapnya ICQS Serikin itu nanti barulah kita mula membina Pos Kawalan Sempadan Stass," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, usaha bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda Kampung Stass mula dilaksanakan pada tahun ini oleh agensi pelaksana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui peruntukan GKCDA sebanyak RM600,000. 

Berucap dalam majlis sama, beliau turut meluluskan peruntukan bagi menambah baik Dewan Gunasama Kampung Krawong Stass dengan peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah projek Program Transformasi Luarbandar (RTP) bagi tahun 2025 dan sebanyak RM10,000 lagi di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun 2024.

Hadir sama, Pemangku Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Penghulu Kawasan Jagoi Sumy Lidei, Penghulu Kawasan Bratak William Morfor Misek dan Ketua Kaum Kampung Krawong Stass John  Mupok. -EDISI UKAS