Lambaian SUKMA 2024 Di Bintulu, Pasti Pikat Hati Pengunjung

Disiarkan pada 14 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Bandar Bintulu menyambut kunjungan para atlet, pegawai dan juga orang ramai bersempena Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 dengan penuh teruja.

 
Bahagian Bintulu turut menjadi venue bagi penganjuran tiga jenis kategori sukan sempena temasya sukan itu pada edisi kali ini.
 
Seperti di bahagian lain, Bintulu juga mengadakan persiapan rapi bagi memastikan SUKMA pada kali ini diadakan dengan lancar dan meriah.
 
Bintulu dipilih sebagai venue bagi sukan Bola Sepak yang berlangsung di Stadium Bintulu dan Padang UPM, manakala sukan Sepak Takraw dipertandingkan di Stadium Muhibbah dan sukan Muaythai di Paragon Mall.
 
Di sebalik kepesatan pembangunan industrinya, Bintulu yang terletak berhadapan Laut China Selatan turut ‘menyajikan’  tempat-tempat dan pemandangan yang menarik terutamanya bagi pengunjung yang baharu tiba di bandar itu.
 
Sememangnya pengalaman berkunjung ke bandar Bintulu akan menjanjikan kenangan indah kepada para atlet dan pegawai dari negeri-negeri lain yang buat pertama kali menjejakkan kaki di bumi Bintulu.
 
 
Sejarah Bandar Bintulu
 
Bermula hanya sebuah perkampungan nelayan kecil, kini Bintulu gah dengan nama bandar perindustrian di Sarawak.
 
Siri-siri penemuan sumber gas asli sejak beberapa dekad telah mengubah landskap perkampungan nelayan itu menjadi terus pesat membangun hingga kini.
 
Menurut cerita penduduk tempatan, nama Bintulu berasal daripada perkataan 'metuk ulau' dalam dialek Melanau Bintulu yang bermaksud mengambil kepala yang dibuang di sungai.
 
Bintulu terkenal dengan loji pemprosesan gas asli iaitu Kompleks Gas Asli Cecair (LNG) yang juga telah mendorong pembangunan sektor-sektor lain.
 
Wujudnya industri-industri seperti Taman Perindustrian Samalaju yang menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit, loji hidrogen di Zon Perindustrian Kidurong yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2027, Kompleks Metanol Sarawak dan hasrat Sarawak untuk membina sebuah loji pengeluaran ammonia terus memacu Bintulu sebagai bandar industri.
 
 
PANTAI TANJUNG BATU
 
Pantai Tanjung Batu terletak kira-kira lima kilometer dari pusat Bandar Bintulu juga pasti menjadi tarikan kepada para atlet mahu pegawai pengiring yang ingin menikmati pemandangan matahari terbenam atau ’sunset’.
 
Pantai ini menjadi destinasi popular bagi penduduk tempatan dan juga pengunjung luar terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.
 
Di sini, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pemandangan tepi pantai dan laut malah turut disediakan tempat makan, pondok rehat serta tempat riadah dan sukan.
 
Selain itu, laluan sepanjang Pantai Temasya Tanjung Kidurong hingga ke Pantai Tanjung Kidurong pasti memberikan kepuasan terutamanya bagi pengunjung menikmati keindahan matahari terbenam.
 
TAMAN TUMBINA BINTULU
 
Tidak kurang hebatnya, dirasmikan pada 2 Ogos 1991, taman ini menyajikan kepelbagaian flora dan fauna Borneo kepada para pengunjung.
 
TUMBINA ialah gabungan perkataan TUMbuhan dan BINAtang yang merupakan integrasi sebuah taman tumbuhan dengan taman haiwan dan yang pertama diwujudkan di Sarawak.
 
Taman yang berkeluasan 57 hektar ini turut berperanan sebagai tapak warisan yang menerapkan pendidikan dan rekreasi untuk tatapan pengunjung.
 
Di sini, pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat pelbagai jenis burung, haiwan-haiwan dan dikelilingi alam sekitar yang menghijau.
 
 
PASAR MALAM
 
Tidak sah jika para pengunjung yang kali pertama bertandang ke Bintulu tidak mengunjungi Pasar Malam Bintulu.
 
Menyajikan pelbagai jenis makanan dan minuman menjadikan Pasar Malam Bintulu yang dibuka setiap hari bermula pada 4 petang salah satu destinasi yang wajib dikunjungi.
 
Uniknya, pasar malam ini turut menjual makanan basah seperti ikan dan makanan laut, hasil hutan dan juga buah-buahan tempatan.
 
Di sini juga pengunjung mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan pelbagai jenis pakaian, aksesori dan kraftangan.
 
 
BELACAN BINTULU

Bukan hanya terkenal dengan kepesatan industri, Bintulu juga terkenal dengan keunikan rasa belacannya yang sering menjadi ‘buruan’ pengunjung luar sebagai buah tangan bila berkunjung ke bandar ini.
 
Bagi mereka yang pertama kali menjejak kaki ke Bintulu, belacan mudah didapati di Tamu Bintulu.
 
Malah di sini, pengunjung berkesempatan melihat proses pengeringan udang geragau atau lebih popular dikenali bubuk dikalangan penduduk tempatan sebagai bahan utama dalam menghasilkan belacan.
 
Sunah Kiai seorang penjaja di Tamu Bintulu yang juga mempunyai pengalaman lebih 20 tahun membuat belacan ketika ditemui berkata, belacan Bintulu sering menjadi tumpuan pengunjung di pasar itu.
 
Ujarnya, rata-rata pengunjung terutamanya dari bahagian lain dan juga Semenanjung Malaysia tidak melepaskan peluang berkunjung ke pasar itu hanya untuk mendapatkan belacan.
 
Beliau juga berkata, bagi memenuhi permintaan orang ramai beliau turut menyediakan perkhidmatan pos ke luar bahagian Bintulu.
 
Tuntasnya, penganjuran SUKMA pada edisi kali ini menjadi platform terbaik terutamanya bagi pengunjung dari negeri lain untuk mencipta kenangan terindah di bandar Bintulu.
 
Keramahan penduduknya dijamin memudahkan para pengunjung merasai sendiri keharmonian dan kepelbagaian yang telah wujud di bandar itu sejak dari dulu lagi. -EDISI UKAS