Bangunan Pantai Tusan Dibuka Semula

Disiarkan pada 14 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS






BEKENU: Penantian selama beberapa tahun kini berakhir apabila bangunan Pantai Tusan telah dibuka semula kepada orang awam.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik telah disambung ke bangunan ini dengan rekabentuk serta fasiliti yang cukup baik dan selesa.

Tambahnya, para peniaga yang terpilih telah mula memasuki lot gerai bangunan dan berniaga sejak 25 Jun lepas.

"Para peniaga ini juga terdiri daripada Jawatankuasa Komuniti Pantai Tusan yang dipengerusikan oleh Mansor Antin dan bersama timbalannya Yussry Ali.

"Jawatankuasa Komuniti Pantai Tusan ini memainkan peranan yang amat penting dalam usaha membantu dan bekerjasama dengan Majlis Daerah Subis dalam memastikan kelangsungan Pantai Tusan sebagai sebuah tempat yang dapat menarik perhatian dan ribuan pelancong ke daerah Subis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kemudahan Pelancongan Pantai Tusan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Datuk Rosey juga mengumumkan RM6.6 juta bagi replika kepala kuda bagi menggantikan kepala kuda yang menjadi ikonik di pantai tersebut sebelum runtuh pada tahun 2020.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM4.945 juta dieprsetujui untuk mengatasi hakisan sementara tanah susur yang sering berlaku di kawasan tersebut.

"Namun status terkini adalah pihak Jabatan Pengairan Dan Saliran (DID) telah menyediakan plastik menutupi hakisan sementara," jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni dan Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis. -EDISI UKAS