Atlet Muay Thai Sarawak Diharapkan Beri Prestasi Terbaik

Disiarkan pada 14 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS







BINTULU: Atlet Muay Thai Sarawak diharapkan memberi prestasi yang terbaik untuk Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, hal ini bagi membolehkan mereka meraih kemenangan dalam setiap acara dipertandingkan.

"Apa yang penting ialah semangat kesukanan yang tinggi serta tahap keyakinan yang tinggi untuk menang akan menguatkan lagi semangat mereka bagi mengecapi kejayaan dalam acara itu nanti," katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam ADUN Tanjung Batu Bersama Atlet Muay Thai Sarawak di sini pada Ahad.

Sementara itu, beliau menyeru kepada semua rakyat di kawasan Bintulu untuk sama-sama hadir bagi memberikan sokongan moral kepada pasukan Muay Thai Sarawak di setiap pertandingan yang diadakan nanti.

Terdahulu, Ketua Jurulatih Muaythai Sarawak Muhammad Azan Mohd Nadzri berkata, Sarawak menyasarkan dua pingat emas dalam empat acara Muay Thai yang akan dipertandingkan dalam SUKMA XXI Sarawak 2024.

Jelasnya, acara Muay Thai bakal menyaksikan kesemua 19 atlet yang merangkumi 14 Kategori Kombat dan lima lagi peserta bagi Kategori Seni sememangnya berpengalaman luas serta pernah mencapai kejayaan dalam beberapa suri kejohanan Muay Thai di Thailand.

"Selaku ketua jurulatih pasukan Muay Thai Sarawak ini sememangnya menaruh harapan tinggi yang kesemua 19 atlet ini berupaya meraih kemenangan sekaligus mengharumkan nama Sarawak di persada nasional dan antarabangsa," jelasnya. -EDISI UKAS