Media Main Peranan Penting Lapor Informasi Terkini SUKMA XXI Sarawak 2024

Disiarkan pada 14 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS



MIRI: Pengamal media memainkan peranan yang penting dalam melaporkan informasi yang sahih dan terkini bagi menarik minat untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.

 

Residen Bahagian Miri Jamalie Busri menyeru para pengamal media untuk terus membuat promosi dan publisiti mengenai SUKMA Sarawak XXI 2024 kepada masyarakat awam.

 

“Teruskan publisiti berkenaan dengan SUKMA ini khususnya di Bahagian Miri supaya orang awam tahu apa yang berlaku.

 

“Ini juga akan menarik orang untuk datang menyaksikan pertandingan sukan dan memeriahkan suasana di Bahagian Miri ini,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa sidang media Majlis Perasmian Pusat Media Bahagian (PMB) Kluster Miri di Indoor Stadium Miri di sini pada Selasa.

 

Katanya, beberapa acara akan berlangsung di Miri seperti acara silat, ragbi, sofbol, karate, lawan pedang dan juga pelayaran.

 

Dalam pada itu, Jamalie juga berharap pihak media boleh menyumbang tenaga bagi memastikan temasya SUKMA Sarawak XXI 2024 berjalan lancar dan teratur.

 

Terdahulu, beliau bersama agensi dan jawatankuasa teknikal yang terlibat turut mengadakan lawatan tinjauan tapak persiapan ke enam venue SUKMA XXI di Miri.

 

Turut hadir ialah Pegawai UKAS Bahagian Miri merangkap Pengarah PMB Kluster Miri Dayang Norazelina Hamdan dan Pegawai UKAS Bahagian Limbang Rosmaini Mail. -EDISI UKAS