Sambutan Hari Raya Diraikan Masyarakat Berbilang Bangsa

Disiarkan pada 12 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BELAGA: Walaupun Hari Raya Aidilfitri lazimnya disambut oleh umat Islam di seluruh dunia namun kemeriahan hari lebaran tersebut turut diraikan oleh masyarakat berbilang bangsa di negeri ini.

Tidak mengira pangkat dan darjat, pemimpin mahupun masyarakat biasa tidak putus mengunjungi saudara mara dan sahabat handai mereka yang meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Tidak melepaskan peluang ialah Timbalan Menteri Digital Malaysia merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang dan Ahli Dewan Negara Senator Michael Mujah Lihan turut berkunjung ke rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di sini pada Khamis.

Kunjungan ke beberapa buah rumah umat Islam  di Kampung Hijrah Jaya dan Kampung Melayu Belaga bermula dari sebelah pagi itu sehingga petang.

Rakyat pelbagai kaum di Belaga juga mengambil kesempatan ini untuk menziarahi sanak saudara dan rakan taulan mereka yang ada di Kampung Hijrah Jaya dan Kampung Melayu Belaga.

Hadir sama, pemangku Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah,Ketua Polis Daerah Belaga Jimbai Bala serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di sekitar Belaga. -EDISI UKAS