Sarawak Sasar Pengeluaran 240,000 Tan Metrik Padi, Jadi Pengeksport Makanan Bersih Menjelang 2030

Disiarkan pada 13 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Sarawak menyasarkan pengeluaran sebanyak 240,000 tan metrik padi bagi mencapai hasrat menjadi pengeksport makanan bersih menjelang tahun 2030.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, negeri ini mempunyai peluang besar dalam industri penanaman padi dengan jumlah tanah seluas 12.4 juta hektar.

“Misi Sarawak adalah untuk menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030 dan untuk mencapai keselamatan makanan dan agenda ketahanan, kita perlu mengeluarkan 240,000 tan metrik padi supaya kita tidak perlu mengimport beras dan boleh berdikari untuk penggunan tempatan,”katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Makanan Lestari 2024 di sini pada Selasa.

Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, defisit perdagangan makanan di Sarawak pada tahun 2022 adalah kira-kira RM5.6 bilion dan itu merupakan jumlah yang besar untuk negeri.

Katanya, antara inisiaif dalam meningkatkan pengeluaran makanan di negeri ini iaitu menggunakan padi yang menghasilkan hasil tinggi varieti, mengguna pakai teknologi terkini dan melaksanakan pengurusan ladang secara inovatif untuk meningkatkan produktiviti beras.

“Sektor komuniti dan perniagaan memainkan peranan penting bagi negeri ini mencapai aspirasi tersebut.

“Dengan mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif baharu ini, masyarakat tempatan boleh membantu Sarawak menjadi pengeksport makanan bersih dan mencapai kecukupan dalam pengeluaran beras, mengurangkan keperluan import dan menangani defisit perdagangan makanan negeri,”ujar beliau.

Hadir sama, Pengerusi Penganjur Persidangan Antarabangsa Makanan Lestari 2024, Sim Ling Ling.-EDISI UKAS