15,000 Permohonan Diterima Bagi Jawatan Guru Pengambilan Khas Sarawak 2024

Disiarkan pada 12 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Dianggarkan kira-kira 15,000 permohonan sudah diterima bagi mengisi jawatan kekosongan guru Pengambilan Khas Sarawak 2024.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, permohonan yang diterima tersebut menunjukkan persaingan sengit dalam kalangan pemohonan untuk mengisi 1,134 kekurangan guru ketika ini.

"Kelayakan guru bukan sahaja berdasarkan keputusan akademik kerana Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan mengadakan temu duga yang merangkumi aspek pedagogi, kemahiran berinteraksi dan sebagainya.

“Ketika ini kita mempunyai ramai calon guru untuk dipilih, dan kita berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta SPP kerana memberi peluang kepada Sarawak dalam pengambilan khas guru," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MEITD, Kumpulan Affin Bank dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR), UNIMAS di sini pada Isnin.

Tambahnya, pengambilan khas guru itu juga akan mengambil kira lokaliti atau tempat asal pemohon.

Untuk rekod, permohonan bagi jawatan tersebut dibuka selama tiga minggu iaitu bermula 1 hingga 23 Ogos ini sebagai usaha untuk menyelesaikan isu kekurangan guru di Sarawak. -EDISI UKAS