Kerja Penambahbaikan Fasa Kedua Pusat Maklumat Pelawat Miri Hampir 96 Peratus Siap

Disiarkan pada 11 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

MIRI: Kerja penambahbaikan fasa kedua di Pusat Maklumat Pelawat Miri atau “Visitor Information Centre Miri” hampir 96 peratus siap dilaksanakan.

Projek dengan kos sebanyak RM500,000 itu bermula pada 22 November 2023 dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa seminggu lagi.

Lawatan kerja turut dijalankan oleh Timbalan Menteri Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pada Selasa untuk meninjau perkembangan projek tersebut.

Beliau mengulas bahawa penambahbaikan ini memberi peluang untuk mencipta sebuah destinasi yang lebih selesa dan menarik bagi pelancong tempatan dan asing.

"Dengan adanya penambahbaikan ini, Visitor Information Centre Miri akan menjadi titik tumpuan bagi mereka yang mencari maklumat mengenai tempat-tempat menarik di Miri dan Sarawak.

“Saya berharap agar kemudahan ini dapat menarik lebih ramai pelancong untuk menerokai keindahan kawasan tersebut," katanya. -EDISI UKAS