Premier Sarawak Menyerikan Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Satok

Disiarkan pada 11 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang menyerikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki di Hikmah Exchange di sini pada Khamis.

Ketibaan beliau pada sekitar jam 4.28 petang telah disambut oleh Dato Ibrahim.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Hilmy Othman serta tetamu-tetamu lain.

Dalam rumah terbuka itu, para hadirin telah menikmati juadah pelbagai makanan dan minuman dihidangkan.

Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari telah mengunjungi rumah terbuka Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di Wisma SABATI. -EDISI UKAS