Sarawak Perketat Tahap Keselamatan Untuk SUKMA XXI Sarawak 2024

Disiarkan pada 12 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee, turun padang untuk memberi taklimat keselamatan kepada para petugas dan peserta yang terlibat dalam Majlis Perasmian SUKMA 2024.

Program ‘Meet & Greet’ Petugas Dan Performer Majlis Perasmian SUKMA 2024 yang berlangsung di Stadium Sarawak pada hari Ahad bertujuan memastikan segala persiapan keselamatan berada dalam keadaan terbaik menjelang temasya sukan terbesar negara yang bakal berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos 2024.

Antara agensi yang turut terlibat dalam memastikan keselamatan adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Datu Hii menyatakan satu jawatankuasa keselamatan telah diwujudkan yang dianggotai PDRM untuk mengawal keselamatan atlet dan venue di setiap bahagian yang menganjurkan acara SUKMA XXI Sarawak 2024.

Jelasnya, langkah ini termasuk memastikan pergerakan atlet dan pegawai negeri di setiap venue sukan berlangsung dengan lancar dan selamat.

Beliau turut menegaskan bahawa jawatankuasa tersebut diharap dapat terus menerajui gerak kerja cemerlang sepanjang persiapan dan penganjuran SUKMA 2024.

Tambahnya, kejayaan penganjuran ini boleh menjadi penanda aras keupayaan Sarawak sebagai tuan rumah untuk karnival sukan yang lebih besar di masa hadapan. - EDISI UKAS