Isu Perjawatan, Kebajikan Penjawat Awam Negeri Terus Diberikan Keutamaan

Disiarkan pada 12 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Isu perjawatan dan kebajikan penjawat Awam Negeri akan terus diutamakan di Pejabat-pejabat Residen dan Daerah khususnya di luar bandar.

Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata demikian semasa sesi dialog bersama Pegawai-Pegawai Kanan Pentadbiran Bahagian Sarikei, Kapit dan Sibu di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak (IAC), Sarikei pada Ahad.

Menurut Datuk Amar Mohamad Abu Bakar, dengan adanya dialog seperti ini, beliau lebih faham tentang isu-isu yang dihadapi oleh penjawat-penjawat awam negeri sekaligus dapat menyelesaikannya dengan lebih efisien dan cepat.

Sesi dialog tersebut diadakan sempena lawatan Datuk Amar Mohamad Abu Bakar ke bahagian Sarikei.

Terdahulu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar serta isteri Datin Amar Baduyah Bujang turut menziarahi bekas-bekas penjawat awam negeri yang telah bersara Rumah Pesara iaitu Michael Wong Ing Wen, Ahmad Rani Eman dan Maureen Sambai Laih.

Beliau turut menanam pokok di hadapan Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak bagi melengkapkan program lawatan ke Bahagian Sarikei.

Hadir sama pada sesi dialog ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Pengarah Unit Pentadbiran Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) Sapiah Daud, Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia Sharifah Rohana Datu Wan Alwi, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Samuel Simon, Pengarah Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) Grace Huong Siew Hung serta Residen Bahagian Sarikei, Sibu dan Kapit.

Sementara itu, Datin Amar Baduyah dalam program berbeza menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada seramai 20 ibu bersalin dan 20 kanak-kanak yang berada di wad Hospital Sarikei.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dianjurkan oleh Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Wanita Negeri Sarawak.

Menurut Datin Amar Baduyah yang juga Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, beliau berbesar hati dapat menyantuni pesakit kanak-kanak yang sedang dirawat di wad hospital tersebut.

“Saya berharap sumbangan ini dapat menceriakan kanak-kanak tersebut dan meringankan beban yang ditanggung oleh ibu bapa mereka, terutamanya dalam situasi yang mencabar ini.

“Kami juga berharap inisiatif seperti ini dapat memberikan sokongan moral dan motivasi kepada ibu bersalin yang sedang dalam tempoh pemulihan,” tambahnya.

Dalam lawatan kali ini, pihak MAKSAK telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM100 kepada setiap kanak-kanak yang menerima rawatan dan RM200 kepada setiap ibu bersalin di hospital tersebut.

Turut hadir Setiausaha MAKSAK Wanita Sarawak Norhayati Mornie, Pengarah Hospital Sarikei Dr. Mohamad Ng Siah Huat serta rombongan Datin Amar Baduyah. - EDISI UKAS