CHINA: Kepimpinan Malaysia dalam penyelidikan tanah gambut tropika menyerlah di Kongres Gambut Antarabangsa (IPV) ke-17 di China apabila Pengarah Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak (TROPI), Datu Dr Lulie Melling dipilih semula ke Lembaga Eksekutif IPS.
Pemilihan beliau yang juga Presiden Persatuan Gambut Malaysia mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin dalam penyelidikan tanah gambut tropika di peringkat antarabangsa.
Kongres Gambut Antarabangsa ke-17 anjuran Persatuan Tanah Gambut Antarabangsa (IPS) telah diadakan buat pertama kali di China dari 4 hingga 9 Ogos 2024.
Acara empat tahun sekali ini dihadiri oleh sekitar 350 delegasi dari 22 negara.
Tema kongres tahun ini, "Tanah Gambut dalam Dunia yang Berubah," menjadi titik tumpuan bagi suasana yang dinamik dan inklusif di mana para saintis, usahawan, dan pembuat dasar dalam bidang penyelidikan tanah gambut dapat berkongsi penemuan penyelidikan terkini, mencadangkan idea inovatif, mempamerkan produk tanah gambut berkualiti tinggi, serta menjalin hubungan penting antara pemeliharaan dan penggunaan tanah gambut.
Dalam satu kenyataan media pada Ahad, Datu Dr Lulie menekankan peranan penting yang dimainkan oleh tanah gambut tropika dalam pengawalan iklim, pemeliharaan biodiversiti, dan pembangunan sosio-ekonomi.
Beliau juga menggariskan cabaran dalam menyeimbangkan kemajuan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar, khususnya di Asia Tenggara.
Dalam pada itu, beliau juga menyarankan pendekatan pengurusan bersepadu, pembaharuan dasar, dan kerjasama antarabangsa yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perjanjian Iklim Paris.
Beliau turut menekankan pentingnya tanah gambut tropika sebagai sumber utama bagi Sarawak dan bagaimana penyelidikan serta inovasi telah mengubah tanah terbiar menjadi aset berharga bagi keselamatan makanan dan ekonomi.
Kedudukannya dalam Majlis Eksekutif IPS memberi platform untuk mempromosikan komitmen Sarawak terhadap pembangunan dan pemuliharaan di peringkat global.
Melihat ke hadapan, Dr. Lulie menegaskan komitmenuntuk terus memimpin inisiatif dalam pemuliharaan dan pembangunan tanah gambut tropika yang mampan.
Kongres Gambut Antarabangsa ke-18 dijadualkan berlangsung di Latvia pada tahun 2028.-EDISI UKAS