Penggunaan Bahasa Inggeris Permudahkan Mualaf Fahami Khutbah Jumaat

Disiarkan pada 11 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Masjid baharu yang bakal dibina berhampiran pusat membeli belah The Spring di sini akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara untuk khutbah Jumaat.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkara ini mengambil kira keadaan di kawasan tersebut yang mempunyai ramai populasi mualaf.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan tersebut bagi memudahkan mereka memahami inti khutbah Jumaat

"Kita di sini melihat kepada keadaan di mana kawasan tersebut memiliki penduduk yang ramai daripada golongan mualaf maka kita gunakan bahasa Inggeris agar mereka dapat fahami," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasnian Program Jelajah Madani Ulama' Dan Unara Peringkat Sarawak 2024 di Wisma SABATI di sini pada Ahad.

Premier Sarawak menambah, penggunaam bahasa Inggeris sepatutnya tidak dipandang remeh malah dilihat sebagai alat komunikasi yang digunakan mengikut keadaan pada sesuatu tempat.

Bagi dirinya, Islam sepatutnya menjadi agama yang terbuka kepada semua untuk diterima yang boleh menjadi satu dakwah kepada umat Islam.

Justeru, Datuk Patinggi Abang Zohari berterima kasih kepada imam-imam kerana sentiasa bekerjasama dengan pentadbir Sarawak.

"Saya betul-betul bersyukur kerana keadaan kita aman dan harmoni dalam kita menjalankan dakwah," jelasnya.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato Setia Dr Na'im Mokhtar, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS