KUCHING: Sekolah antarabangsa Islam yang bakal dibangunkan akan menerapkan nilai-nilai Islam dan akhirat dalam sukatan pembelajaran mereka.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, model pengajaran dan pembelajaran akan berkisarkan kepada sukatan antarabangsa dan tempatan.
"Sukatan pembelajaran sekolah antarabangsa Islam ini kelak berkisarkan kepada Universiti Al-Azhar, Madrasah Al-Junied Al Islamiah Singapura dan Cambridge.
"Bermakna, mereka yang dari Maahad Tahfiz Abdul Rahman Ya'kub (MATTARY), hafiz Al-Quran dan hafazan boleh naik ke sekolah antarabangsa Islam.
"Menggunakan sukatan Al-Quran dan sukatan Cambridge maka ada penerapan nilai dunia dan akhirat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Program Jelajah Madani Ulama' Dan Umara Peringkat Sarawak 2024 di Wisma SABATI di sini pada Ahad.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, hal ini adalah bagi melahirkan anak Islam Sarawak yang berpendidikan tinggi serta
berpengetahuan luas sama ada pembelajaran Islam mahupun dunia.
Jelasnya, secara dasarnya Kerajaan Sarawak sentiasa menekankan kepada pendidikan bagi melahirkan anak Islam Sarawak yang berpendidikan secara meluas berkonsepkan Muqarabah.
Dalam kesempatan itu juga, Premier Sarawak turut menyampaikan Anugerah Tokoh Mithali Peringkat Sarawak kepada tiga penerima.
Selain itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato Setia Dr Na'im Mokhtar mewakili Yayasan Taqwa MAIWP menyampaikan peruntukan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) KAFA JAKIM Tahun 5 bagi golongan B40 Negeri Sarawak kepada Majlis Islam Sarawak (MIS) yang diwakili oleh Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS