NRES Komited Tangani Isu Perubahan Iklim

Disiarkan pada 11 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi dalam era pembangunan pesat global tidak mengorbankan kesihatan dan kesejahteraan alam sekitar.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato' Sri Huang Tiong Sii berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah diamanahkan sebagai 'penjaga’ khazanah bumi Malaysia dan komited dalam menangani isu perubahan iklim melalui perangkaan Dasar Perubahan Iklim yang komprehensif.

Katanya, dalam era pembangunan pesat dan global, kita perlu memastikan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak mengorbankan kesihatan dan kesejahteraan alam sekitar.

"Sebagai Kementerian yang diamanahkan sebagai 'penjaga’ khazanah bumi Malaysia ini, kami di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melihat Karnival Alam Kita ini lebih daripada sekadar penganjuran acara.

“Tetapi sebagai simbol komitmen Kementerian yang memerlukan sokongan dan maklum balas daripada semua penduduk setempat untuk meningkatkan tahap kesedaran umum tentang amalan-amalan gaya hidup hijau dan lestari yang boleh dipupuk di peringkat akar umbi.”

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Karnival Alam Kita 2024 bertempat di Dewan Sentral Sarikei yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.

Menurut beliau, objektif penganjuran Karnival Alam Kita adalah bagi meningkatkan dan mempromosikan kesedaran orang awam tentang amalan kelestarian selain memperkukuh kolaborasi NRES dengan para pemegang taruh Kementerian.

Penganjuran karnival itu juga merupakan satu lambang komitmen Kerajaan MADANI dan pihak kementerian akan memastikan khazanah alam yang diamanahkan kepada kita semua hari ini kekal lestari untuk generasi akan datang.

“Jika diteliti, tiga daripada enam tonggak utama nilai strategik kerangka dasar Malaysia MADANI seperti Kemampanan, Daya Cipta dan Kesejahteraan ini berkait rapat dengan fungsi NRES sebagai sebuah Kementerian yang diberi tanggungjawab menaungi pelbagai portfolio yang merangkumi pengurusan sumber asli dan alam sekitar, menggalakkan pertumbuhan dan inovasi industri teknologi hijau; serta inisiatif-inisiatif mendepani perubahan iklim di peringkat nasional dan antarabangsa.”

Tambahnya, sebagai sebahagian daripada komitmen untuk menangani perubahan iklim, NRES telah menetapkan hala tuju untuk mencapai sifar karbon menjelang tahun 2050 termasuk usaha mengurangkan penggunaan bahan api fosil, meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, dan mempromosikan teknologi hijau.

Dalam pada ADUN Repok itu menegaskan di Sarawak, pelbagai inisiatif sedang dijalankan untuk menyokong hala tuju ini, termasuk pembangunan projek tenaga solar dan hidroelektrik serta program pemuliharaan hutan yang lebih agresif.

Usaha-usaha ini ujarnya penting dalam mencapai sasaran sifar karbon dan mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan lestari.

Menurutnya, Sarawak juga memainkan peranan penting melalui pemuliharaan hutan dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi menyumbang kepada usaha global dalam menangani perubahan iklim melalui Sumbangan Ditentukan Negara (NDC).

“Di bawah Perjanjian Paris, kita telah berjanji untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45% pada tahun 2030 berbanding tahap pada tahun 2005.

“Usaha ini melibatkan pelbagai sektor termasuk tenaga, pengangkutan dan pertanian,” tambah beliau.

Hadir sama Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo Kim, Residen Bahagian Sarikei Micheal Ronnie Langgong, Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) NRES Norsham Abdul Latip, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum. - EDISI UKAS