370 Projek Diluluskan Di Bawah GKCDA

Disiarkan pada 11 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) telah meluluskan 370 projek yang akan membawa manfaat merangkumi 10 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek ini telah diluluskan mengikut peruntukan yang diberikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg iaitu sebanyak RM1.5 bilion.

“Daripada 370 buah projek ini, tujuh projek sudah diberikan kepada kontraktor, 11 projek telah ditender, 84 projek sedia untuk ditender dan baki 268 projek adalah dalam perancangan yang mana meliputi pelbagai peringkat pelaksanaan seperti pelantikan konsultan dan penyediaan BQ,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Jalan Dalam Kampung DUN N1 Opar Projek GKCDA di Dewan Serbaguna Kampung Serayan Baru, Lundu pada Sabtu.

Tambahnya, pelaksanaan projek di kawasan juga bersifat rakyat serta dapat meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat agar sejajar dengan tagline GKCDA iaitu 'Pembangunan Untuk Rakyat'.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Induk GKCDA itu turut melancarkan projek GKCDA pertama iaitu Projek Menaiktaraf Jalan Dalam Kampung bagi kawasan DUN Opar yang bernilai RM9.68 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang dalam ucapannya berkata, majlis ini memberikan makna yang sangat bererti kerana ianya mampu mengubah nasib kawasan Opar ke arah yang lebih membangun serta menjadikan semua harapan penduduk setempat menjadi realiti.

Jelasnya, projek Menaik Taraf Jalan Dalam Kampung yang bernilai RM9.68 juta ini bakal memberikan manfaat kepada 1,815 buah rumah daripada 50 buah kampung dalam daerah Lundu.

Bagi kawasan DUN Opar dalam daerah Bau pula, projek ini masih menunggu untuk ditender dalam masa terdekat.

Tambah Billy lagi, selain daripada projek menaiktaraf jalan dalam kampung ini, pelbagai projek lain juga akan dilaksanakan melalui peruntukan GKCDA yang menelan kos keseluruhan hampir RM144.93 juta. -EDISI UKAS