LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan turun padang meninjau dua projek Program Transformasi Luar Bandar Sarawak (RTP) di Zon Sematan Lundu pada Khamis.
Projek tersebut adalah menaiktaraf kemudahan sukan di Kampung Pueh Lundu yang telah siap dan projek menaiktaraf padang futsal Kementerian Belia Dan Sukan Sematan yang masih dalam pelaksanaan oleh Kontraktor Taharah Mafa Sdn Bhd.
Kedua-dua projek ini berada di bawah pemantauan agensi Majlis Daerah Lundu (MDL).
Ketika ditemui media, Azizul berharap dengan siapnya gelanggang futsal di Kampung Pueh dan Padang Futsal Kementerian Belia dan Sukan Sematan itu dapat menarik ramai belia dan beliawanis untuk membuat penganjuran pertandingan futsal atau lain-lain aktiviti untuk manfaat penduduk setempat.
Hadir sama Pegawai Daerah Lundu Awang Yusup Awang Mostapha, Kaunselor Mohamad Naieem Samsudin, Penghulu Ramil Mina dan Ketua Kaum Kampung Pueh Eran Su’ut. -EDISI UKAS