Karnival Bola Sepak Piala YB Dato Sri Roland Sagah Wee Inn Bermula

Disiarkan pada 11 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Pasukan-pasukan bola sepak dari lapan kawasan DUN iaitu Opar, Tasik Biru, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja mengesahkan saingan dalam Pertandingan Karnival Bola Sepak Piala YB Dato Sri Roland Sagah Wee Inn yang disingkapkan tirainya pada Sabtu.

Perasmian karnival tersebut disempurnakan di Padang Sekolah Kebangsaan St Jude's Bunan.

Karnival bagi kawasan DUN Kedup ini merupakan Siri Ke-3 kali yang mana pada tahun 2022 DUN Tasik Biru menjadi tuan rumah diikuti dengan DUN Tarat pada tahun 2023.

DIkenali sebagai Piala Prima Bidayuh 2024, karnival ini dijalankan selama tiga hari iaitu pada 10 Ogos untuk pusingan awal, 11 Ogos 2024 separuh akhir dan final diadakan pada 18 Ogos 2024 dengan ketiga-tiga kategori perlawanan akhir akan diadakan di Padang SK St Jude's Bunan.

Karnival pertandingan terbahagi kepada tiga kategori dan peringkat umur iaitu Lelaki Veteran (45 tahun ke atas) yang bermain di Padang St Jude's Bunan, Lelaki Belia (18 - 44 tahun) bermain di Padang SALCRA Mongkos dan Kategori Wanita (Umur terbuka) bermain di Padang Kampung Mujat.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben hadir bagi menyempurnakan perasmian karnival tersebut.

Berucap ringkas, beliau harap karnival ini dijadikan platform mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan pemimpin, pemain dan penyokong pasukan yang diwakili bahkan kepada pasukan-pasukan lain yang terlibat.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada dan ADUN Bukit Semuja John Ilus. - EDISI UKAS