KOTA SAMARAHAN: Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang mampu meningkatkan semangat patriotisme khususnya bagi rakyat Samarahan.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Dato' Idris Buang berkata, selain itu program seperti ini dapat memberi kesedaran serta menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang.
“Program seperti yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Negeri Sarawak dan agensi lain sepanjang bulan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia mampu meningkatkan lagi semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan rakyat di Samarahan khususnya.
"Kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya belia untuk menyertai program sebegini dilihat semakin meningkat, namun perlu dilakukan berterusan supaya semangat patriotisme berkenaan tidak hilang dalam diri masing-masing," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 Daerah Samarahan di Perkarangan Surau Baiturrahman Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa 2 di Kota Samarahan pada Sabtu.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang itu turut menggesa penduduk daerah Samarahan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap premis kerajaan, swasta, mahupun rumah persendirian bagi mendukung kedaulatan negara.
Majlis yang diadakan sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 itu melibatkan sebanyak 25 buah kenderaan pelbagai jenis dan 30 buah motorsikal yang menelusuri beberapa sekitar kawasan di daerah Samarahan.
Peserta konvoi turut singgah sebentar di tepi jalan The Summer Shopping Mall dan bergerak menuju destinasi seterusnya iaitu di Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa 2 dan sepanjang perjalanan kenderaan konvoi memainkan lagu-lagu patriotik untuk menyemarakkan lagi suasana sambutan.
Ketibaan konvoi di Perkarangan Surau Baiturrahman Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa 2 pada kira-kira jam 9:45 pagi kemudian disambut oleh Dato' Idris.
Aturcara program tersebut diteruskan dengan beberapa pengisian seperti Pertandingan Melukis Kanak-Kanak, Sajak Kemerdekaan, Simbolik Penyerahan Jalur Gemilang dan flag off Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang menuju ke Serian.
Hadir sama, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Ketua Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Mewakili Pengarah Penerangan Sarawak, Siti Fairuz Ngatenan dan Pegawai Penerangan Daerah Samarahan Abdul Latif Shamsuddin. -EDISI UKAS