Syarikat Penerbangan Sarawak Dijangka Beroperasi Tahun 2025

Disiarkan pada 11 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi bayangan akan memiliki sebuah syarikat penerbangan sendiri yang dijangka beroperasi pada tahun depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha ke arah pemilikan syarikat penerbangan sendiri bagi negeri ini kini di peringkat teknikal.

Menurut beliau, secara prinsipnya perkara itu telah dipersetujui antara Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Kementerian Pengangkutan dan ‘Malaysia Aviation Group’ (MAG) setakat ini.

“Apa yang perlu sekarang ialah hanya teknikal sahaja lagi di mana saya merasakan pada bulan lapan ataupun selewat-lewatnya hujung tahun ini akan selesai.

“Kita Insya-Allah akan mempunyai syarikat penerbangan sendiri pada tahun 2025,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Khamis.

Menjawab pertanyaan media mengenai model dan nama syarikat penerbangan tersebut, Datuk Patinggi Abang Zohari memaklumkan bahawa perkara tersebut sudahpun ada namun belum dapat diumumkan buat masa ini.

“Modelnya dan nama syarikat ini akan saya umumkan nanti apabila semua urusan sudah selesai,” jawab beliau.

Terdahulu, beliau bersama isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang telah hadir ke BCCK yang mana pada hari kedua penganjuran rumah terbuka tersebut menerima kunjungan seramai 10,814 rakyat Sarawak. -EDISI UKAS