Sektor Kesihatan & Pendidikan Keutamaan Kerajaan Sarawak

Disiarkan pada 11 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak amat menitikberatkan sektor kesihatan dan pendidikan untuk rakyat negeri ini lebih-lebih lagi bagi menaik taraf fasilti-fasiliti sektor berkenaan yang uzur dan daif.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan Sarawak akan menyalurkan dana untuk menaik taraf fasiliti-fasiliti berkenaan walaupun terpaksa membayar dana pendahuluan menggunakan dana kerajaan negeri.

“Apa yang kita lakukan ialah kalau Sarawak ada dana yang boleh membantu kerajaan pusat jadi kita akan gunakannya.

“Yang penting rakyat mesti mendapat sekolah yang selesa, klinik yang selesa sekaligus dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat kita di negeri ini,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Khamis.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, fasiliti-fasiliti yang daif akan dinaik taraf termasuk tempat kediaman pegawai dan tenaga kerja di kedua-dua sektor berkenaan.

“Ini mempercepatkan perkara-perkara yang amat mustahak iaitu klinik termasuk rumah untuk para pegawai dan jururawat dan keduanya sekolah termasuk juga kuarters untuk guru yang baik dan lebih selesa kepada mereka,” jelas beliau lagi.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju untuk memberikan kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk menyalurkan dana pendahuluan bagi kerja-kerja menaik taraf fasiliti kesihatan dan pendidikan di negeri ini yang mana kerajaan Persekutuan akan membayar balik dana tersebut kemudian. -EDISI UKAS